Thursday, October 28, 2010

Rumi: Penyair Sufi Ahli Metafora


Rumi has influenced thousands of people across the centuries with his poetry and his vision of our relationship with God as a path of love. Today he is considered the most popular poet in the United States and his verses are published in books, filmed on video, and set to music on CDs so that he remains the flame that keeps alive the force of the divine in every living heart that is touched by his words.”

Catatan di atas merupakan akhir dari pengantar untuk buku The Illustrated Rumi.

Rumi menjadi penyair Islam yang abadi, bukan hanya kerana ia seorang sufi, yang memaparkan pengalamannya sendiri. Rumi juga penyair besar kerana kemampuannya yang luar biasa untuk mengungkapkan pengalaman mistik dalam bahasa yang indah, jenaka dan puitis. Kerana puisi-puisinya menggunakan kata-kata Parsi yang sukar dicari padanannya dalam bahasa lain, para penerjemah menyalin puisi Rumi menjadi gaya bebas, prosa, prosa lirik, puisi, atau lagu, atau gabungan dari semuanya.

Dalam tulisan ini, saya ingin menyebutkan satu lagi kekuatan puisi Rumi dan tulisan-tulisan lainnya. Rumi sangat mahir menggunakan metafora. Orang Parsi menyebutnya zarbul matsal. Ia membimbing para pembacanya untuk memahami konsep-konsep yang sulit atau sekadar meyakini hujah yang dikemukakannya dengan berfikir secara analogi. Ketika seorang ahli fiqh mengkritik dia kerana berzikir sambil menari, Rumi membuat analogi. Bukankah dalam fikih ada kaedah “hal yang membahayakan dapat membenarkan hal yang dilarang.” Kita boleh makan yang haram, jika tubuh kita terancam kematian. Sekiranya menari itu haram, itu terpaksa dilakukan semasa ruh kita mengalami kematian. Beliau analogikan kematian ruh dengan kematian tubuh.

Dalam Matsnawi, Rumi mengajak kita berfikir secara analogi dengan mengambil ilham dari cerita-cerita di dalamnya. Matsnawi adalah kumpulan metafora yang indah. Pada hampir setiap kalimat Rumi menyedarkan kita akan kealpaan dan kekeliruan kita dengan cara yang sangat elegan. Ia mengusik kita dengan sejumlah metafora. Ia membuat kita termenung lama dengan perumpamaaan dan perbandingan yang dibuatnya. Kita disentuh dengan halus, tidak melalui akal rasional kita. Ia menyentuh akal spiritual kita.

Berikut ini saya akan memberikan sebahagian contoh saja. Dan kita mulai dengan pelajaran sederhana; Likes beget likes. Yang sejenis melahirkan yang sejenis lagi. Kita hanya boleh berdekatan dengan orang-orang yang mempunyai sifat yang sama dengan kita. Jangan sedih kalau ada sejumlah kawan meninggalkan anda. Mereka pasti tidak mempunyai sifat yang sama dengan anda. Begitu pula, jika anda ingin dekat dengan Allah, seraplah sifat-sifat Dia. Jika anda ingin jauh dari Dia, jauhilah sifat-sifat-Nya. Semaklah cerita yang pertama: Ketika Si Gila Tersenyum Padamu.

Galen, sang guru agung itu menyuruh salah seorang pembantunya untuk memberikannya suatu ubat. “Tuan Guru, ubat itu untuk orang gila. Tuan sangat tidak memerlukannya!” Galen berkata, “semalam seorang gila menoleh kepadaku dan tersenyum. Ia mengangkat alisnya ke atas ke bawah. Ia memegang lengan bajuku. Ia tak mungkin berlaku begitu jika tidak melihat pada diriku sesuatu yang cocok dengannya.” Siapa saja yang merasa tertarik kepada orang lain, betapa pun singkatnya, pastilah memiliki satu kesedaran yang sama. Hanya di kuburan makhluk yang tidak sama bersahabat.

Seorang bijak-pandai pernah berkata, “Kulihat bangau dan helang terbang bersama. Aku tak faham. Lalu aku selidiki. Ternyata mereka memiliki hal yang sama. Keduanya pincang.” Ada sebabnya mengapa kumbang meninggalkan bunga mawar. Ia tidak tahan dengan semua keindahan di dalamnya. Ia ingin hidup di atas kotoran yang busuk, bukan bersama burung bulbul dan bunga-bunga. Perhatikan siapa yang menghindarimu. Itu juga akan mengungkapkan sifat batiniahmu. Tanda keabadian pada Adam bukan hanya kerana para malaikat sujud kepadanya, tetapi juga kerana syaitan tidak mahu. (Matsnawi II: 2095-2105, 2112-2123)

Pada kisah berikutnya, Rumi ingin menjelaskan makna firman Tuhan “Tidaklah kehidupan dunia ini kecuali tipuan saja.” Dunia menipu kita dengan penampilan, dengan apa yang tampak, dengan fenomena. Maka semaklah lagi kisah Malam Pengantin Faraj yang berikut ini.

Seorang raja mempunyai budak dari India bernama Faraj. Ia mendidiknya dengan baik. Seorang anak muda yang sangat ceria, rajin menuntut ilmu dan berkemahiran (keahlian). Lilin akalnya telah dinyalakan. Ia berkembang pesat dalam anugerah sang raja. Raja punya seorang putri yang jelita. Tangan dan kakinya mulus dan putih bersinar seperti perak. Penampilannya cemerlang. Ia sudah hampir mencapai usia pernikahan. Banyak pelamar menawarkan mas kahwin yang menakjubkan. Setiap hari peminang baru tiba. Sang raja yang bijaksana membatin, “Kekayaan tidak bererti apa-apa. Ia bertiup masuk bersama angin pagi dan keluar lagi di petang hari. Begitu pula keindahan jasmani, wajah yang cantik, dengan mudah dapat terluka kerana duri. Keturunan yang mulia juga tidak berharga. Anak-anak bangsawan itu hanya tertarik pada wang dan kuda.” Dan bakat istimewa juga tidak benar-benar berharga. Ada sejenis pengetahuan yang adalah cinta, bukan pengetahuan ilmiah. Mengumpulkan maklumat yang kecil itu tidak akan membukakanmu. Ia akan menggelembungkanmu seperti janggut atau serban. Ia berteriak kepadamu, “ada tolak-ansur yang harus kita pertimbangkan.”

Pengetahuan cinta yang ini adalah cahaya yang terpancar, kebahagiaan dalam dua dunia. Raja memilih untuk puterinya seorang suami yang memiliki sifat itu. Semua orang mengkritiknya, “Ia tidak kaya. Ia tidak cantik, dan tidak berasal dari garis keturunan yang terkenal.” Sang raja menjawab singkat, “Semua sifat tadi tidak penting.” Perkahwinan pun direncanakan dan persiapan pun dimulai. Tetapi budak hindu Faraj menjadi sakit dan berdiam diri. Ia murung dan lemah. Doktor tidak dapat menentukan sebabnya.

Pada suatu malam raja berkata kepada isterinya, “Kamu hampir seperti ibu bagi Faraj. Pergilah kepadanya dan selidikilah halnya.” Pagi berikutnya ia pergi dan menyisir rambut Faraj. Ia mencium pipinya dan menghiburnya. Akhirnya Faraj menceritakan rahsianya, “Saya mencintai puterimu. Tak terbayangkan kamu akan memberikannya kepada yang lain!”

Ratu hampir tidak sanggup menahan keterkejutannya dan kemarahannya. “Bersabarlah,” hanya itu yang dia katakan dan ia kembali kepada raja, “Dapatkah kau bayangkan budak ini berfikir untuk mengahwini puteri kita!”

“Jangan kecam dia,” kata raja. “Malah ia harus diberi tahu bahawa kita akan memutuskan pertunangan dan mengahwinkan anak kita kepadanya. Berita ini akan membuatnya sihat! Binatang menjadi kuat dan sihat dengan memberinya makanan. Anak muda dibuat bahagia dan lincah dengan harapan bahawa keinginannya untuk mendapat kehormatan dan perempuan akan segera terpuaskan.”

Begitulah anak muda itu diberi tahu. Dan pesta pun diselenggarakan untuk merayakan pernikahan Faraj. Faraj bangkit kembali, sihat wal afiat dan penuh bertenaga.

Pada malam perkahwinan, raja mengirim seorang pengganti – anak lelaki remaja yang bersembunyi dalam pakaian perempuan dengan kuku yang dicat, dan lengan yang dihias. Pada jam yang tertentu, suami yang berghairah ditinggalkan sendiri dengan sosok yang tertutup kelambu. Si bapak dengan cepat meniup lilin dan pergi. Terdengar teriakan kerana terkejut. Tetapi kerana hingar bingar muzik tidak seorang pun di luar kamar yang mendengar. Genderang dan tambur bertalu-talu. Tangan-tangan terus bertepuk. Teriakan orang di luar kamar bergabung dengan teriakan kedua remaja di dalam.

Terbitlah fajar. Faraj dan orang yang berselubung itu berpadu dalam pelukan. Apa yang diketahui anjing dari sekarung tepung? Begitulah kemudian pakaian bersih dibawakan. Dalam keadaan yang sangat bingung, Faraj bangun dan pergi mandi. Dengan hati yang resah dan tercabik-cabik seperti tumpukan kain cucian, Faraj kembali melihat gadis yang sebenarnya, duduk di kerusi pengantin beserta ibunya. Ia menatap mereka cukup lama, lalu mengangkat kedua tangannya dan melambaikannya. “Semoga tidak ada orang yang terkutuk kerana mempunyai isteri seperti itu! Di siang hari kamu tampak cantik jelita. Di malam hari kepunyaanmu rosak dan lebih buruk dari keledai!”

Seperti itulah semua kesenangan dunia. Mereka tampak indah sebelum kamu mencubanya. Dunia tampak seperti mempelai jelita. Lebih bersabarlah kamu ketimbang Faraj!

Kehormatan yang kamu cita-citakan, kekuasaan di atas orang lain, lepaskan semuanya itu. Lebih baik tidak menunggangi punggung orang lain. Kerana dengan cara itulah kita sampai ke kuburan. Perhatikan saja urusanmu. Jika cambukmu jatuh, turunlah dan ambil sendiri. Jangan suruh orang lain melakukan pekerjaanmu. Tanyalah jauh ke dalam dirimu. Ketika Kehadiran itu membimbingmu, apa pun yang kau lakukan akan menjadi benar walaupun di luar tampak keliru. Jangan memaki tiram kerana kerangnya yang buruk dan melengkung. Di dalamnya hanya ada mutiara. Tidak jelas bagaimana harus menggambarkan diri kita dengan fenomena di sekitar kita.

Seperti laron dengan lilin, kita membakar sayap kita lalu melupakan lagi dan kembali berbuat yang sama. Seperti kanak-kanak, kita muntahkan garam, dan setelah itu memuntahkannya lagi. Seperti Faraj, kita mengangkat kedua tangan kita dan berkata, “Tidak! Wajahmu sangat cantik tapi di ranjang kamu betul-betul berbeza. Aku tidak akan tertipu lagi!” Tetapi, ia akan tertipu lagi. Kita sudah membulatkan tekad, tapi kita lupakan lagi. Kertas berterbangan dan kemudian menghilang. (Matsnawi VI:249-356)

Jika anda ingin mengenal diri anda, sebelum dapat mengenal Tuhan, ikutilah nasihat Rumi dalam dua kisah terakhir di bawah ini: Kambing Berlutut dan Itik Lautan:

Kambing Berlutut

Batin manusia seperti rimba. Kadang-kadang serigala berkuasa, terkadang babi-babi liar. Berhati-hatilah ketika kamu bernafas.

Sekali waktu sifat yang lembut dan pemurah bagaikan Yusuf, berganti menjadi sifat yang lain. Pada waktu yang lain, sifat-sifat yang jahat bergerak secara tersembunyi.

Kearifan bergeser sejenak menjadi sapi! Kuda yang meradang dan membangkang tiba-tiba menjadi tunduk dan patuh. Beruang mulai menari, kambing berlutut!

Kesedaran manusia berubah menjadi anjing, dan anjing menjadi gembala, atau pemburu. Di Gua Ashabul Kahfi, bahkan anjing pun menjadi pencari makrifat.

Setiap saat, makhluk baru bangkit di dalam dada – kadang syaitan, kadang malaikat, kadang binatang buas. Bahkan di rimba yang menakjubkan ini ada mereka yang dapat menyerapmu ke dalam kepasrahan mereka sendiri. Jika kamu harus mencuri sesuatu, curilah dari mereka. (Matsnawi II:1416-1429)

Itik Lautan

Kamu adalah itik lautan lepas yang dibesarkan bersama ayam kampung!

Ibumu yang sebenarnya hidup di samudera, tapi pengasuhmu unggas daratan. Jiwamu yang paling dalam mengarah ke lautan. Setiap gerakan darat yang kau buat, kau pelajari dari pengasuhmu, ayam kampung. Sudah datang saatnya kamu bergabung dengan itik!

Pengasuhmu akan menakut-nakuti kamu dengan air garam, tapi jangan dengarkan dia! Samudera adalah rumahmu, bukan kandang ayam yang bau. Kamu adalah raja, putera Adam, yang dapat menempuh lautan dan daratan. Malaikat tidak berjalan di atas bumi, dan binatang tidak berenang di samudera ruhani.

Kamu adalah lelaki atau wanita. Kamu adalah keduanya. Kau berjalan tertatih-tatih, dan kamu terbang melingkar berputar mengarungi angkasa. Kita adalah burung-burung air, duhai anakku. Samudera mengenal bahasa kita dan mendengar kita dan menjawab kita.

Laut adalah Sulaiman kita. Melangkahlah ke dalamnya dan biarkan air Daud membuat kita menjadi tetes indah bersama riaknya. Lautan selalu di sekitar kita, tapi kerana kesombongan dan kealpaan kita, kadang-kadang kita mabuk laut. (Matsnawi 3:3766-3810)

Oleh: Jalaluddin Rakhmat

Nota: Artikel di atas merupakan makalah yang diterbitkan sempena Seminar Puisi Rumi, di Masjid Istiqlal, Jakarta, pada Jumaat, 2 Februari 2001.


Sumber: Klik disini.

No comments:

Post a Comment